Marvel Studios kini kembali dengan naskhah ke-36 dalam semesta sinematik mereka, Thunderbolts* arahan Jake Schreier, hasil skrip Eric Pearson dan Joanna Calo. Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Florence Pugh (Yelena Belova), Sebastian Stan (Bucky Barnes), Wyatt Russell (John Walker), Olga Kurylenko, Lewis Pullman, Geraldine Viswanathan, Chris Bauer, Wendell Pierce, David Harbour, Hannah John-Kamen, dan Julia Louis-Dreyfus sebagai sang mastermind yang masih penuh misteri. Diedarkan oleh Walt Disney Studios Motion Pictures, ia mengangkat kumpulan antihero dalam jerat bahaya yang memaksa mereka bekerjasama dalam misi yang tak dijangka.
Kadangkala saya tertanya, berapa kalikah Marvel boleh bermain dengan formula yang sama sebelum kita semua sedar bahawa kita sedang menonton variasi demi variasi drama korporat berbalut kostum ketat? Thunderbolts* tidak mengubah dunia sinema, tetapi ia cukup sedap untuk dikunyah – macam popcorn lebur dalam mentega tiruan. Anda tahu ia tak sihat, tapi anda tak henti suap.

Filem ini ibarat reunion untuk watak-watak yang dulunya disimpan dalam laci MCU – Yelena yang sinis, Red Guardian yang tak pernah dewasa, Ghost yang masih trauma, dan tentu saja Bucky Barnes yang kini lebih banyak merenung daripada bercakap. Anehnya, Bucky adalah nadi emosi filem ini, walaupun dia lebih banyak jadi ‘hiasan mahal’ di tengah kekecohan Yelena dan rakan-rakan.
Sentry, atau Bob, muncul sebagai wild card – satu figura kuasa maha dahsyat, tetapi ditulis dengan sentuhan tragedi. Kalau Adam Warlock terasa seperti projek gagal dari Guardians 3, Bob adalah hasil dari penulisan yang lebih matang. Tapi bila penjahat filem ini terlalu “overpowered”, konflik mula terasa sempit. Anda boleh teka klimaksnya dari awal – dan itu bukan pujian.

Saya tidak akan puji lebih-lebih. Ini bukan filem revolusioner. Tapi ia membuat saya rindu pada era pra-Endgame, ketika setiap filem Marvel terasa seperti satu eksperimen, bukan satu tanggungjawab. Saya suka bagaimana Thunderbolts memetik semula rentak Civil War—bukan dalam skala, tapi dalam nada dan keberanian untuk berselindung di sebalik kelabu moral.
Post-kredit? Bunyi macam kad undangan ke mimpi ngeri yang akan datang. Saya tidak sabar, saya juga risau.

7/10 – dari saya yang rasional.
9/10 – dari saya yang masih rindukan sinar lama Marvel.