counter Ulasan filem: Telaga Suriram – Bayang-Bayang Naratif yang Tertinggal – Forsething

Ulasan filem: Telaga Suriram – Bayang-Bayang Naratif yang Tertinggal

Dalam Telaga Suriram, Osman Ali tampak seperti terperangkap dalam sebuah mesin masa yang berhenti pada tahun 2005. Filem ini seperti satu hela nafas dari zaman filem seram era awal milenium – penuh dengan jeritan, kamera bergoyang, dan simbolisme kabur yang seolah-olah mahu menipu penonton bahawa “kekaburan itu kedalaman.” Malangnya, ia tidak.

Apa yang dipersembahkan di sini bukanlah sebuah filem seram yang menggali ketakutan psikologi atau mitos nusantara dengan nuansa, tetapi sebaliknya sebuah pementasan teater DBP yang diberi bajet dan kamera digital. Lakonan para pelakon – Maya Karin dengan raut beku, Ellie Suriaty yang seperti dikerah mengerah tenaga suara tahap pementasan bangsawan, dan Farid Kamil yang tidak pernah melepasi watak “lelaki keras kepala yang emosional” – semua terasa tidak selaras, seperti rentak gamelan yang dimainkan oleh budak-budak sekolah rendah.

Osman Ali seakan percaya bahawa keintiman dan trauma hanya boleh dipersembahkan melalui tubuh wanita. Kamera melekap lama pada tubuh pelakon perempuan dalam keadaan berkemban, berlengging, atau sekurang-kurangnya berkeringat dan berkibaran rambut, menjadikan Telaga Suriram tidak lebih dari soft porn dalam estetik kampung. Ada satu babak – tubuh Ellie Suriaty dipijak samseng kampung – yang membuatkan penonton bukan sahaja geli, tetapi marah, kerana penghinaan terhadap tubuh wanita dijadikan elemen dramatik murahan.

Naratifnya? Pincang. Filem ini terlalu panjang untuk jalan cerita yang terlalu nipis. Lebih dua jam, dan kita masih tidak diberikan rasa puas hati. Penonton dibiarkan menunggu klimaks yang akhirnya tergesa-gesa muncul hanya untuk mengecewakan.

Watak Scha Al-Yahya sebagai Inspektor Kamilah sepatutnya menjadi pintu masuk rasional dan realistik dalam dunia yang dikelilingi oleh histeria kampung, kepercayaan kuno dan emosi yang meledak-ledak. Malangnya, wataknya diperlakukan seperti pelakon jemputan – hadir dengan potensi, tapi tidak pernah diberi ruang untuk berkembang. Scha mempersembahkan watak Kamilah dengan kawalan dan kejelasan, satu-satunya watak yang tidak menjerit tanpa sebab. Namun setiap kali dia muncul, penonton terasa ada sesuatu yang boleh berlaku — penyiasatan yang lebih mendalam, pertembungan akal dengan kepercayaan — tapi naskhah hanya membiarkannya tergantung, seolah-olah watak itu tidak lebih daripada gangguan kepada drama utama yang terlalu ghairah dengan penderitaan Suriram dan ibunya.

Lagu tema nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza, SESAL, pula malangnya tidak berjaya menampung kelemahan emosi dalam filem. Nyanyian beliau, meskipun teknikalnya sempurna, terasa dingin – tiada denyutan, tiada luka, tiada apa-apa yang membuatkan kita percaya bahawa ini adalah jeritan seorang ibu kehilangan anak.

Osman Ali, seorang pengarah yang pernah punya sensitiviti halus (Bukak Api, Ombak Rindu), kini seperti tidak tahu lagi perbezaan antara emosi dan eksploitatif. Telaga Suriram bukanlah sebuah filem seram; ia adalah sebuah percubaan gagal untuk mencipta kesedihan melalui penderitaan wanita yang dilondehkan, secara literal dan metaforikal.

Penilaian: 2.5/10

About admin