counter The Fantastic Four: First Steps Terus Unggul di Carta Sinema Malaysia – Forsething

The Fantastic Four: First Steps Terus Unggul di Carta Sinema Malaysia

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Filem baharu terbitan Marvel Studios, The Fantastic Four: First Steps, terus mendominasi carta tayangan dengan mengekalkan kedudukan nombor satu di pawagam seluruh Malaysia untuk dua minggu berturut-turut.

Filem yang memperkenalkan semula “keluarga pertama” Marvel ini turut mencatat kejayaan besar di rantau Asia Tenggara apabila muncul sebagai filem nombor satu industri di Filipina, Malaysia, Singapura dan Thailand, serta memperoleh kedudukan teratas MPA di Indonesia dan Vietnam.

Sejak tayangan perdananya, The Fantastic Four: First Steps telah meraih kutipan global mencecah USD368.7 juta (RM1.5 bilion), termasuk USD218.0 juta (RM922.2 juta) pada hujung minggu pembukaan. Di Asia Tenggara sahaja, filem ini mencatat kutipan keseluruhan USD14.5 juta (RM61.3 juta), dengan sumbangan utama datang dari Indonesia (USD3.6 juta), Filipina (USD3.4 juta), Thailand (USD2.7 juta), Malaysia (USD2.5 juta atau RM10.5 juta), dan Singapura (USD1.7 juta).

Menurut Ketua Studio The Walt Disney Company Asia Tenggara, Rachel Fong, kejayaan ini turut dipacu oleh sambutan hangat peminat dan pelbagai aktiviti yang menjadikan pengalaman menonton lebih bermakna. “Latar dunia retro-futuristik era 1960-an memberi kami peluang untuk menambah elemen keseronokan – daripada pertunjukan dron di Jakarta, tayangan perdana bertaraf gala di Bangkok, sehinggalah instalasi pop-up di Singapura, Malaysia dan Filipina,” katanya.

Di Malaysia, keterujaan peminat diterjemah melalui aktiviti promosi seperti trak kopi bergerak bertemakan “Galactic Café” yang singgah di kampus SEGi University dan pasar hujung minggu Pingmin Hub. Selain itu, kempen promosi turut diperluas ke platform digital melalui kerjasama bersama aplikasi Touch ‘n Go.

Diarahkan oleh Matt Shakman, filem ini mengetengahkan pelakon ternama seperti Pedro Pascal (Reed Richards/Mister Fantastic), Vanessa Kirby (Sue Storm/Invisible Woman), Joseph Quinn (Johnny Storm/Human Torch), dan Ebon Moss-Bachrach (Ben Grimm/The Thing). Mereka bergabung dalam satu misi menyelamatkan Bumi daripada ancaman makhluk kosmik, Galactus (lakonan Ralph Ineson) dan utusannya, Silver Surfer (Julia Garner).

Turut membintangi ialah Paul Walter Hauser, John Malkovich, Natasha Lyonne dan Sarah Niles. Filem ini diterbitkan oleh Kevin Feige dan ditayangkan secara eksklusif di pawagam seluruh negara bermula hari ini.

About admin