Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini mengadakan Majlis Perhimpunan Tahun 2025 di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur, bagi memperkukuh semangat kerjasama serta menilai pencapaian kementerian dan agensi-agensi di bawahnya.
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick, menjadi medan untuk berkongsi aspirasi kementerian serta menggariskan hala tuju pelaksanaan pelbagai inisiatif sepanjang tahun ini.

Dalam ucapannya, Datuk Ewon menekankan bahawa kejayaan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan koperasi negara amat bergantung kepada kerjasama erat warga kementerian dan agensi. Beliau berkongsi beberapa pencapaian penting, antaranya pertumbuhan ekonomi PMKS sebanyak 5.8 peratus pada 2024 dengan sumbangan RM652.4 bilion, serta kenaikan eksport sebanyak 31.3 peratus.
Sehingga Jun 2025, sebanyak 204,429 usahawan PMKS dan koperasi telah menerima pembiayaan bernilai RM3.59 bilion, dengan lebih 28,600 usahawan dan koperasi baharu dilahirkan. Usahawan PKS juga dibimbing untuk memperluas perniagaan ke pasaran antarabangsa, dengan 540 individu terbabit.
Majlis turut mengetengahkan pelaksanaan skim pembiayaan khusus bagi membantu usahawan masyarakat India melalui inisiatif seperti SPUMI Goes Big oleh TEKUN Nasional, skim PENN di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia, skim BRIEF-i oleh Bank Rakyat, dan skim Vanigham Financing oleh SME Bank.

Keberhasilan penganjuran program dan ekspo bertaraf nasional serta serantau turut mendapat perhatian, termasuk Program Madani Rakyat di Tawau dan Mesyuarat ASEAN Coordinating Committee For Micro, Small and Medium Enterprises (ACCMSME) Ke-19 di Langkawi.
Selain itu, pelbagai program seperti PERNAS International Franchise Festival 2025, penggubalan Akta Koperasi Baharu, ASEAN Franchise Convention, Hari Koperasi Negara 2025, serta Karnival Mega 3 Dimensi turut berjaya dijayakan dengan kerjasama erat pelbagai agensi di bawah KUSKOP.
Mengakhiri majlis, Datuk Ewon menyeru warga kementerian dan agensi agar terus meningkatkan kecekapan dan fokus dalam menyampaikan perkhidmatan demi mempercepat pertumbuhan usahawan dan koperasi selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau menegaskan pentingnya mempermudah urusan klien dan menambahbaik proses kerja dengan prinsip “We should facilitate, not frustrate”, bagi memastikan manfaat inisiatif KUSKOP dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha, dan pegawai kanan kementerian serta agensi berkaitan.