Kuala Lumpur, 13 Jun 2025 – Dunia hiburan tanah air bakal dimeriahkan dengan kemunculan sebuah lagi program realiti nyanyian terbaharu terbitan Astro, Raise The Star Malaysia, yang menjanjikan format segar dan unik berbanding program seumpamanya.
Menampilkan lima komposer hebat – Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah dan Ikhwan Fatanna – program ini memberi tumpuan kepada pencarian lima bintang baharu untuk mempersembahkan lagu ciptaan eksklusif masing-masing di pentas akhir. Menerusi pendekatan ini, komposer tidak sekadar menjadi juri, malah turut memainkan peranan sebagai mentor, pembimbing dan pencipta karya kepada peserta pilihan mereka.

‘Raise The Star Malaysia’ akan bersiaran selama lapan minggu bermula 22 Jun 2025, setiap Ahad jam 9 malam secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam di saluran Astro Ria (104), dan turut boleh distrim melalui Astro GO dan sooka.
Sebanyak 30 peserta daripada pelbagai latar belakang telah dipilih selepas melalui dua sesi uji bakat secara digital dan fizikal. Mereka berjaya menambat hati juri profesional termasuk guru vokal, komposer jemputan dan produksi dengan bakat dan vokal yang meyakinkan.

Menurut Idlan Zahari, Pengurus Saluran Astro Ria, program ini memberi nafas baharu kepada konsep pertandingan nyanyian dengan memberi penekanan kepada karya ciptaan tempatan. Setiap peserta perlu bersaing bukan sahaja untuk mara ke peringkat akhir, tetapi juga untuk mempersembahkan lagu khas ciptaan komposer yang dipilih.
Setiap minggu, peserta akan diuji dengan pelbagai tugasan termasuk persembahan solo dan duet. Mereka akan dinilai oleh komposer yang juga bertindak sebagai juri utama. Penjurian terbahagi kepada dua komponen: markah juri (80%) dan undian awam (20%).

Program ini turut memperkenalkan sistem kedudukan dinamakan Slay Meter – di mana peserta yang meraih 5 slay daripada juri akan menerima ganjaran wang tunai tajaan pihak penaja. Peserta dengan kedudukan paling rendah akan tersingkir setiap minggu.
Dihoskan oleh dua personaliti popular tanah air, Alif Satar dan Sherry Alhadad, program ini dijangka menarik perhatian peminat muzik dan penggemar rancangan realiti seluruh negara dengan kombinasi bakat, bimbingan profesional dan persembahan bertenaga.

‘Raise The Star Malaysia’ disokong oleh QSR Brands (KFC) dan UMobile selaku penaja utama.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan program ini melalui Astro Ria, Astro GO, sooka dan Astro Gempak. Untuk melanggan Pek Astro One, layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838.
*Tertakluk kepada terma dan syarat.