Pentas Barbarik Vol. 2 merempuh kembali dengan skala lebih besar apabila barisan penuh penampilan istimewa diumumkan, melibatkan Karl Cromok, Eddie, Black, Mel dan Jojet, sekali gus memperkukuh kedudukan konsert ini sebagai antara acara muzik keras paling dinanti pada awal 2026. Konsert anjuran Republic Mokhmah Records (RMR) bersama Pentas Barbarik Sdn Bhd itu akan berlangsung pada 31 Januari 2026, bermula pukul 8 malam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Penganjuran edisi kedua ini tercetus susulan kekecohan yang berlaku pada konsert Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL pada 12 Disember 2025, apabila ratusan peminat gagal memasuki ruang persembahan akibat kapasiti penuh. Insiden tersebut menjadi cerminan jelas terhadap kekuatan pengaruh Barbarik dalam kalangan peminat muzik keras tempatan, sekali gus menuntut satu penyelesaian yang lebih bertanggungjawab daripada pihak penganjur dan artis sendiri.

Sehubungan itu, Barbarik mengambil inisiatif menganjurkan Pentas Barbarik Vol. 2 di lokasi yang lebih besar dengan skala produksi lebih tersusun, sebagai usaha memelihara kepercayaan peminat serta memperbaiki kekhilafan yang berlaku. Menurut wakil Barbarik, JoBranko, penganjuran ini bukanlah usaha menutup insiden terdahulu, sebaliknya telah lama berada dalam agenda kumpulan tersebut, namun dipercepatkan sebagai manifestasi tanggungjawab profesional terhadap penyokong mereka.
Dari sudut penganjur, Republic Mokhmah Records menyifatkan Pentas Barbarik Vol. 2 sebagai penganjuran signifikan yang menandakan fasa baharu selepas beberapa siri persembahan terdahulu. Wakil RMR, Abdul Musa Haji Mokhtar, menegaskan komitmen pihaknya untuk memastikan pengurusan tiket dilaksanakan secara telus dan terkawal, selain mengelakkan sebarang penjualan tidak sah atau berlebihan yang boleh menjejaskan reputasi industri hiburan tempatan.
Keistimewaan Pentas Barbarik Vol. 2 turut terserlah menerusi gabungan pemuzik pelbagai generasi apabila Karl Cromok disenaraikan bersama Eddie, Black, Mel dan Jojet sebagai penampilan khas. Kehadiran mereka bukan sekadar nilai nostalgia, sebaliknya memperlihatkan kesinambungan pengaruh muzik keras tempatan yang merentas era, selain memperkayakan dinamika persembahan Barbarik di atas pentas.

Konsert berdurasi kira-kira dua jam setengah itu dijangka menampilkan sekitar 30 peratus repertoir berbeza berbanding Pentas Barbarik Vol. 1, dengan pemilihan lagu yang dirancang untuk memberi pengalaman baharu kepada penonton tanpa sekadar mengulang persembahan terdahulu. Gabungan pemuzik berpengalaman dan generasi lebih baharu dalam Barbarik turut dijangka mengukuhkan identiti serta kekuatan persembahan secara langsung.

Penjualan tiket akan bermula pada 18 Disember 2025, pukul 12 tengah hari, menerusi platform www.iLassoTickets.com/pentasbarbarikvol2 dengan harga bermula RM138 hingga RM1,500. Kategori tiket merangkumi General Admission, Rockzone (standing), Normal Seating, VIP Seating dan Grand VIP Couple Seat, tidak termasuk caj pemprosesan.
Pentas Barbarik Vol. 2 dijangka menjadi antara konsert paling diperhatikan pada awal tahun 2026, bukan sahaja sebagai medan persembahan berskala besar, tetapi juga sebagai ujian kepercayaan antara pemuzik, penganjur dan peminat yang terus menyokong perjalanan muzik Barbarik.