counter Filem Gerbang Setan Bakal Menghantui Pawagam Malaysia Mulai 7 Ogos – Forsething

Filem Gerbang Setan Bakal Menghantui Pawagam Malaysia Mulai 7 Ogos

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Filem seram-komedi dari Indonesia berjudul Gerbang Setan, arahan pengarah berpengalaman Toto Hoedi, bakal menemui penonton Malaysia mulai 7 Ogos 2025. Edaran filem ini di Malaysia merupakan langkah sulung Big Fortune Movie Sdn Bhd dalam arena pengedaran filem tempatan.

Diterbitkan oleh syarikat produksi SetiaOne Vision (SOV), filem berdurasi 88 minit ini menampilkan kisah lima sahabat – Diki, Beni, Rachel, Bagas dan Wina – yang menyertai sebuah pakej pelancongan seram ke desa terpencil bernama Lawase Urip. Lawatan yang pada awalnya penuh gurau senda dan keterujaan bertukar menjadi pengalaman yang mengerikan apabila mereka berdepan dengan gangguan makhluk halus, ritual pemujaan dan kepercayaan terhadap roh leluhur.

Gerbang Setan menggabungkan unsur seram dan komedi secara serentak. Ia menampilkan pelakon komedi popular Indonesia seperti Komeng, Cak Lontong, Jarwo Kwat dan Opi Kumis, serta pelakon utama seperti Rizza Fahlevi, Ummy Quary, Rachel Oldham, Mc Danny dan Renaga Tahier. Lokasi penggambaran bertempat di Bogor dan Jakarta, dijalankan dalam tempoh 25 hari.

Berbeza daripada kebanyakan filem seram konvensional, Gerbang Setan mempersembahkan pengalaman seram yang disulami elemen humor segar. Gabungan ini menjadikan naskhah ini sesuai untuk tontonan remaja dan dewasa, terutamanya golongan muda yang menggemari cerita berunsur mistik tetapi tidak terlalu berat.

Filem ini turut menyentuh fenomena pelancongan mistik yang kini menjadi trend di kalangan generasi baharu. Ia secara tidak langsung mengingatkan penonton agar tidak memandang enteng hal-hal ghaib, apatah lagi apabila kepercayaan tradisional dijadikan bahan mainan atau kandungan hiburan.

Di Indonesia, filem ini telah memulakan tayangan sejak 17 Julai dan menerima sambutan yang memberangsangkan. Pihak Big Fortune Movie yakin bahawa Gerbang Setan akan mendapat tempat dalam kalangan penonton tempatan yang mencari kelainan dalam genre seram.

Penonton di Malaysia boleh menyaksikan filem ini di pawagam seluruh negara bermula 7 Ogos 2025.

Ikuti Instagram: @setiaonevision_media , @bigfortunemovie dan TikTok: @bigfortunemovie
YouTube: @setiaonevision_media

About admin