Kuala Lumpur, 11 November 2025 – Etika Sdn Bhd dengan kerjasama Reef Check Malaysia (RCM) dan disokong oleh Malaysian Recycling Alliance (MAREA) telah melancarkan Program Pengurusan Sisa Semporna, satu inisiatif perintis yang memfokuskan kepada pengurusan sisa berasaskan komuniti di Kampung Sri Aman, Semporna.
Program ini diwujudkan bagi menangani isu pengurusan sisa dan pencemaran plastik yang telah lama membelenggu kawasan Semporna, sekali gus memberi kesan kepada kehidupan masyarakat dan ekosistem marin di sana. Projek ini menjadi model awal bagi sistem pengurusan sisa yang tersusun dan mampan, yang boleh dijadikan rujukan kepada komuniti pesisir pantai lain pada masa hadapan.
Melalui inisiatif ini, Etika akan menyediakan sokongan menyeluruh — daripada pelaksanaan audit sisa dan pembinaan infrastruktur hingga kepada latihan kemahiran serta penglibatan komuniti. Usaha ini dijalankan bersama Reef Check Malaysia dan disokong oleh MAREA bagi memperkukuh amalan kelestarian jangka panjang di peringkat tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Etika, Santharuban Thurai Sundram berkata, “Projek ini membolehkan kami memperkenalkan penyelesaian praktikal terhadap cabaran sebenar yang dihadapi penduduk setempat. Kami percaya kelestarian hanya dapat dicapai apabila komuniti dilibatkan secara aktif. Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat mewujudkan impak jangka panjang yang bermakna.”
Inisiatif ini turut disambut baik oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh pembangunan lestari di negeri tersebut. “Selain menangani cabaran pengurusan sisa, projek ini juga membantu memelihara keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian biologi yang menjadikan Sabah antara destinasi pelancongan terbaik dunia. Dengan memperkasakan komuniti Kg Sri Aman melalui latihan dan kemudahan yang sesuai, mereka kini mampu mengurus persekitaran secara bertanggungjawab dan berperanan sebagai penjaga alam sekitar,” menurut kenyataan kementerian.
Menjelang akhir tahun 2028, projek ini menyasarkan penyertaan 99 isi rumah di Kampung Sri Aman, dengan sekurang-kurangnya 90 peratus daripadanya mengambil bahagian aktif dalam aktiviti pengasingan sisa. Program ini juga dijangka dapat mengalihkan lebih 10,000 kilogram sisa daripada persekitaran.


Pengurus Program Reef Check Malaysia, Adzmin Fatta, menyifatkan projek ini sebagai langkah penting dalam memperkukuh pengurusan sisa lestari. “Pendekatan berasaskan komuniti membuktikan bahawa sistem praktikal di peringkat tempatan mampu menjadi model pelaksanaan bagi strategi kerajaan dan panduan untuk komuniti lain yang berdepan cabaran sama,” katanya.
Selain membantu memelihara alam sekitar, projek ini turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sebagai pengutip dan penyelaras sisa. Bahan kitar semula yang dikumpul akan dihantar ke pusat pengumpulan, dan keuntungan daripadanya akan digunakan semula untuk memperkukuh program pengurusan sisa dan kitar semula komuniti.
Kerjasama strategik turut dijalinkan bersama Majlis Daerah Semporna (MDS), Pejabat Daerah, dan KePKAS bagi memastikan pelaksanaan projek ini selaras dengan pelan pembangunan tempatan dan berpotensi diperluaskan ke komuniti lain di seluruh Sabah.
Etika, Reef Check Malaysia, dan MAREA akan terus bekerjasama dalam memperkukuh amalan pengurusan sisa di peringkat komuniti serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar yang lebih meluas di Malaysia.

Majlis pelancaran Program Pengurusan Sisa Semporna turut dihadiri oleh Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad; Santharuban T. Sundaram, Ketua Pegawai Eksekutif Etika Sdn Bhd; Dr. Dayang Siti Maryam binti Mohd Hanan dari Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS); Encik Julian Hyde dan Cik Theresa Ng dari Reef Check Malaysia; Encik Ahmad Zhafri Samsudin dari Malaysian Recycling Alliance (MAREA); serta wakil tempatan, Tuan Hassan Gabra bin Haji Hajan dan Puan Samsiah Sabdan dari Pejabat Daerah Semporna.