“Jika kita tidak mengurung mereka, segalanya akan terlambat.”
Disney+ Hotstar hari ini melancarkan treler rasmi bagi siri drama fiksyen sains terbaru, Alien: Earth, terbitan FX. Siri yang dinanti-nantikan ini dicipta khas untuk televisyen oleh penerbit pemenang Anugerah Emmy, Noah Hawley, berdasarkan francais filem Alien yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Siri ini akan ditayangkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar Malaysia bermula Rabu, 13 Ogos 2025, dengan dua episod pertama boleh distrim pada hari pelancaran, diikuti satu episod baru setiap minggu.
Alien: Earth membawa penonton ke tahun 2120, ketika Bumi dikuasai oleh lima korporat gergasi: Prodigy, Weyland-Yutani, Lynch, Dynamic dan Threshold. Dalam era yang dikenali sebagai Zaman Korporat, manusia hidup bersama siberorganik (gabungan manusia dan mesin) dan sintetik (robot humanoid berperisikan kecerdasan buatan).
Namun, satu penemuan baru oleh pengasas dan CEO Prodigy Corporation mengubah segala-galanya. Teknologi hibrid – robot humanoid dengan kesedaran manusia – mula mencabar batas kemanusiaan. Prototip pertama, Wendy, menandakan permulaan era baru dalam pencarian keabadian.
Kisah bermula apabila kapal penyelidikan angkasa lepas, USCSS Maginot, terhempas di Bumi. Wendy bersama sekumpulan tentera elit menemui sesuatu yang jauh lebih menakutkan daripada apa jua ancaman yang pernah dihadapi manusia.

Sydney Chandler mendukung watak utama sebagai Wendy dan mengetuai barisan pelakon antarabangsa termasuk Timothy Olyphant, Alex Lawther, Samuel Blenkin, Babou Ceesay, Adrian Edmondson, David Rysdahl, Essie Davis, Lily Newmark, Erana James, Adarsh Gourav, Jonathan Ajayi, Kit Young, Diêm Camille, Moe Bar-El dan Sandra Yi Sencindiver.
Siri ini diterbitkan oleh FX Productions dan dihasilkan bersama oleh Noah Hawley, Ridley Scott, David W. Zucker, Joseph Iberti, Dana Gonzales dan Clayton Krueger. Dengan kombinasi penceritaan sinematik dan produksi bertaraf tinggi, Alien: Earth menjanjikan pengalaman tontonan yang mendebarkan serta mengangkat kembali francais Alien dalam wajah yang lebih moden dan menggugah minda.
Treler rasmi serta poster utama Alien: Earth telah mula dilancarkan dan boleh ditonton di platform digital rasmi Disney+ Hotstar Malaysia. Siri ini bakal menjadi antara karya sains fiksyen utama tahun ini, khusus buat peminat genre distopia dan aksi angkasa lepas.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, ikuti Disney+ Hotstar Malaysia di:
X: @DisneyPlusMY
Instagram: @DisneyPlusHotStarMY
Facebook: @DisneyPlusHotStarMY
TikTok: @DisneyPlusMY
Tanda pagar rasmi: #DisneyPlusHotstarMY